Dafi akui minat Adira
Keratan Akhbar Berita Harian : Dafi akui minat Adira (Oleh Zubir Mohd Yunus)
RASANYA ramai yang setuju sekiranya penulis menamakan bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Dafi, 22 dan naib juara AF8, Adira, 19 sebagai artis paling comel yang dilahirkan menerusi program realiti popular di Astro Ria itu. Justeru, buat pertama kalinya Dafi dan Adira digandingkan dalam satu sesi fotografi.
Ternyata kombinasi itu amat serasi apabila mereka mampu memberikan pose romantik, seolah-olah pasangan sedang bercinta! Dalam pertemuan itu, Dafi mengakui, inilah pertama kali dia bertemu Adira secara peribadi apabila sebelum ini melihat persembahannya menerusi kaca TV saja.
“Apabila saya menatap wajahnya secara dekat, ternyata dia seorang gadis sangat comel! Bagi saya, Adira ada pakej yang memudahkannya bergerak pantas dalam industri seni. Tambahan pula, bintang AF8 turut dibekalkan dengan single dan klip video apabila melangkah keluar dari akademi. Saya yakin, sekiranya bakat Adira disusuli dengan usaha keras, dia mampu pergi jauh dan bertahan lama dalam bidang ini,” katanya. Apabila ditanya, adakah Adira memiliki ciri-ciri gadis idaman yang layak dijadikan kekasih, Dafi tidak berselindung, sebaliknya terus-terang mengakui, kecomelan dan fizikal Adira yang kecil molek memang cita rasanya.
“Tak mustahil suatu hari nanti saya bakal jatuh cinta dengannya... Namun, kemungkinan ke arah itu (bercinta), masih terlalu jauh. Banyak lagi perkara yang belum saya capai dalam kehidupan terutama karier yang baru saja bermula,” katanya lagi.
Tapi, bagaimana pula dengan gosip cinta yang membabitkan Dafi bersama Adeline Tsen apabila mereka dikatakan menjalin hubungan intim selepas kedua-duanya membintangi drama bersiri Hotel Mania, sekali gus Adeline yang kini bernaung bersama MIG Production, dikatakan rela sentiasa dilihat bersama Dafi untuk meraih populariti dalam masa terdekat.
“Saya akui, memang rapat dengan Adeline terutama selepas dua bulan setengah berada di lokasi Hotel Mania. Hari-hari kami bertemu. Kebetulan kami juga sering digandingkan dalam promosi Hotel Mania, iklan DiGi, malah program TV seperti Galaksi Sharp dan Kata Kau. Kami sering bertemu dan pasti timbul salah sangka, padahal kami tak bercinta pun, hanya kawan rapat saja.
“Namun, tidak dinafikan, seandainya cinta itu datang, saya tak pernah menolak, tapi masanya belum tiba... Adeline juga tidak pernah mengambil kesempatan bersama saya untuk mencuri perhatian. Berilah dia sedikit masa lagi untuk membuktikan kemampuannya,” kata Dafi yang juga anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Adira tak menolak cinta
Sementara itu, Adira yang kini semakin sibuk mempromosikan single dan klip videonya, Ku Ada Kamu ciptaan Edry KRU, tidak keberatan mengimbas kegagalan cinta monyet ketika dia berada di alam persekolahannya. Akui Adira, dia sangat setia apabila bercinta, justeru cinta monyet hanya pernah berlaku sekali saja!
“Dalam usia yang masih terlalu mentah, saya tidak pernah mencari atau menolak cinta. Namun, keutamaan saya ketika ini terhadap kerjaya untuk membuktikan kepada keluarga, bidang seni mampu menjamin masa depan. Buat pertama kali juga, Astro dengan kerjasama KRU Studios mempertaruhkan single dan klip video kami, justeru saya tidak mahu mempersiakan kepercayaan dan harapan mereka,” kata Adira.
Bagaimana perasaan Adira apabila pertama kali bertemu Dafi?
“Kebetulan sebelum menyertai AF8, saya memang meminati Dafi, sekarang dah jumpa depan mata. Tapi, saya terharu apabila Dafi memberitahu, saya memiliki ciri-ciri gadis idamannya. Namun, masing-masing masih muda, biarlah kami berkawan saja, tidak sesuai gadis seperti saya bercakap soal hati. Saya yakin, apabila sudah berjaya dalam karier, pasti kita akan dipertemukan dengan jodoh yang sesuai, insya-Allah,” katanya lagi.
(Tags: Adira Af8, Dafi Af5, Astro, Akademi Fantasialah Aksi, Maja)