Adira Seindah Biasa
Another article written about Adira AF8. This article written by SHAKILAWATI ABD RAHMAN on myMetro. You can see the original article via link below:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Adiraseindahbiasa/myMA/myArticle/
Pun begitu, dunia realiti tidak seindah fantasi. Anak bongsu lapan beradik ini mula sedar dia perlu bekerja keras andai mahu bertahan lama. Populariti segera yang diraih menerusi program realiti yang disertai bukan jaminan dan dia perlu kreatif mencari identiti sendiri.
“Dulu saya sangka kerjaya sebagai penyanyi senang. Tidak banyak kerja perlu dibuat tetapi pulangannya besar dan paling seronok sentiasa nampak cantik dan disayangi ramai.
“Rupa-rupanya ia tidak semudah itu. Kehidupan anak seni sangat mencabar, bukan saja perlu berusaha keras malah juga mesti pandai jaga pergaulan dan penampilan.
“Pendek kata, apa yang saya lalui hari ini berbeza daripada rutin sebelum menyertai AF8. Saya tidak sangka akan berdepan jadual yang sangat padat. Mula-mula kekok juga, maklumlah setiap hari ada saja aktiviti perlu dilunaskan termasuk undangan persembahan, rakaman, sesi bergambar bersama media dan temubual di radio.
“Alhamdulillah, selepas beberapa minggu saya dapat menyesuaikan diri, bahkan mula selesa dengan rutin yang diatur pihak pengurusan, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Biarpun penat, saya tak kisah sebab ini yang saya cita-citakan dari dulu,” kata Adira yang mengakui bekerja di usia muda membuka matanya terhadap banyak perkara, terutama menguruskan masa.
Karier diceburi turut menuntut gadis berusia 19 tahun ini bijak bergaya dan peka dengan perkembangan fesyen. Pendedahan yang diperoleh dalam akademi banyak membantu, bahkan dia kini mula membelek majalah untuk memastikan fesyen digayakan tidak ketinggalan.
“Saya suka gaya ringkas dan sempoi. Terus-terang, dulu saya tidak pernah ambil tahu soal fesyen. Apa yang ada depan mata saya pakai. Maklumlah, bukan mudah mahu membeli-belah kerana kampung saya jauh dari bandar, paling hampir adalah pekan Kundasang dan Ranau. Sesekali adalah juga saya dan keluarga ke Kota Kinabalu.
“Namun apabila berada dalam dunia baru ini, saya dinasihat supaya menjaga penampilan kerana banyak mata memandang. Jika tidak terikat dengan jadual seni, saya selesa bergaya ringkas tetapi jika perlu berdepan orang ramai, saya akan lebih teliti memilih pakaian.
“Jika mahu membeli pakaian, saya banyak merujuk keluarga, kawan AF8 dan pengurusan AESB. Bukan apa, bimbang apa yang dibeli tidak sesuai dengan saya,” katanya.
Adat anak bongsu, mewah dengan limpahan kasih sayang dan menjadi titik fokus keluarga. Sejak kecil segala keperluan diuruskan ibu tercinta, malah apa yang dipinta jarang tidak dipenuhi. Itu antara nikmat menjadi anak bongsu.
Gadis berkulit putih gebu ini mengakui pengalaman berjauhan dengan ibu bapa tercinta menyesakkan dada. Hatinya sering dihimpit rindu, bahkan situasi sama turut menghantui keluarganya di Sabah.
“Mujur saya ada kakak di sini, sedikit sebanyak dapat redakan perasaan rindu terhadap ibu dan ayah. Memandangkan saya masih muda, keluarga minta saya tinggal dengan kakak saya, Rosaida di Klang.
“Saya yakin boleh berdikari kerana bukan budak kecil lagi malah sudah boleh bantu keluarga, tetapi mereka belum yakin dengan saya. Kak Ema (wakil AESB) menetap dengan Ain dan teman AF8 lain di Cheras.
“Jika jadual padat, saya bermalam di rumah Kak Ema kerana jaraknya lebih dekat dengan pejabat AESB. Ia memudahkan kakitangan AESB mengambil dan menghantar saya,” katanya yang mengikuti kelas pembangunan sahsiah anjuran AESB setiap Selasa dan Khamis.
Menyusuri jadual seninya, Adira akan menghadiri uji bakat untuk filem terbaru Tayangan Unggul dalam waktu terdekat, bahkan dia kini sibuk dengan promosi album AF8 Hits selain terbabit dengan penggambaran Ragam Fantasia Raya, Konsert Gegar RTM di Kelantan dan Hot Mini Jam di Kuching.
Credit to myMetro
(Tags: Adira Af8, myMetro, Adira seindah biasa, gambar adira Af8, akademi fantasia, majalah aksi)