Dunia Baru Adira

Dunia Baru Adira..

Another media coverage for Adira Af8.. Credit to bharian.com.my

Dunia baru Adira
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/07/22



Gigih sesuaikan diri dengan kehidupan sebagai penyanyi, pelakon


KETIKA gadis yang seusia dengannya bebas menikmati keindahan alam remaja, tetapi dia sudah mula mencari rezeki dengan tulang empat kerat. Mungkin bagi sesetengah gadis, zaman remaja yang dilalui harus digunakan untuk berhibur, lebih-lebih lagi buat mereka yang memegang falsafah muda hanya sekali.
Namun, itu bukanlah prinsip hidup yang dipegang oleh Siti Adira Suhaimi atau Adira yang sedang mengecapi nikmat naib juara Akademi Fantasia ke-8 (AF8) baru-baru ini.
Gadis yang berasal dari Kundasang, Sabah ini tidak pernah merungut ataupun merasakan rugi kerana memang itulah jalan yang dipilihnya apabila menyertai program AF iaitu untuk menjadi anak seni. Berbekalkan bakat yang ada, perjalanan karier Adira bagaikan direstui apabila dinobatkan sebagai naib juara program terbabit.





Hadir dengan pakej iaitu vokal yang sedap didengar serta wajah yang menarik, Adira dengan mudah menawan hati penggemarnya. Ditambah dengan single pertamanya Ku Ada Kamu yang semakin ‘meletup’ di corong radio membuatkan nama penyanyi yang baru saja bebas dari sangkar emas AF ini semakin hebat mendaki carta populariti.

Bertemu Adira di Kampung Serkam, Merlimau, Melaka sewaktu menjalani penggambaran drama Lawaknya Fantasia Raya baru-baru ini, gadis berkulit cerah itu mengakui kini sedang menyesuaikan diri dengan situasi barunya.

“Saya baru saja dua bulan berada dalam bidang ini. Sepanjang tempoh ini, saya akui masih banyak yang perlu saya belajar. Kena belajar sesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang baru buat saya. Mujurlah, kakak saya Emma tinggal sekali dengan saya membuatkan saya berasa selamat sedikit.
“Keluarga pun risau dengan keadaan saya di sini. Maklum sajalah saya masih muda? Baru nak masuk 19 tahun, jadi kenalah ada yang mengawasi saya,” ujar Adira membuka bicara kami petang itu dengan senyuman.

Bicaranya semakin teratur serta mudah difahami. Malah keyakinannya apabila ditemubual semakin menyerlah berbanding sewaktu di awal-awal dia menjejakkan kaki di dunia seni ini. Barangkali ini ada kena mengena dengan bengkel Pembangunan Sahsiah Diri kendalian Anita Sarawak yang diikutinya bersama-sama beberapa rakannya dari AF8 yang lain sejak awal bulan lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Adira mengakui bengkel itu sedikit sebanyak memberi perubahan kepadanya.

“Setakat ini, apa yang saya belajar daripada tenaga pengajar iaitu Kak Nita banyak memberikan kesan yang positif demi masa depan kerjaya saya. Keyakinan untuk berjumpa orang ramai itu sudah ada. Cuma saya sekarang kena lebih belajar lagi untuk menghilangkan sedikit loghat Sabah yang pekat ini,” katanya yang disusuli dengan ketawa kecil.

Bercerita pengalamannya berguru dengan superstar terkenal itu, Adira berkata dia memang gementar pada awalnya.

“Terus terang, Adira memang gementar sangat apabila berdepan dengan Kak Nita. Maklum sajalah dia kan diva. Memang takut. Tapi lama-kelamaan, barulah kami semua jadi rapat.

“Corak pengajaran Kak Nita memang mudah difahami. Senang nak ikut dan yang penting kena usaha keras. Sepanjang lapan kelas yang kami ikuti itu, banyak pengalaman baru yang kami timba dan dia tidak pernah lokek ilmu. Dia mahu kami gunakan bakat serta peluang yang ada itu untuk terus berjaya dalam bidang yang saya pilih ini,” kata gadis ini.

Bukan masa untuk kejar cinta

MEMPUNYAI perwatakan yang agak manja ditambah memiliki seraut wajah cantik, tidak mustahil membuatkan Adira menjadi dambaan setiap lelaki. Namun, tegas Adira belum masanya untuk dia bermain cinta walaupun mengakui ada yang berterus terang melahirkan hasrat untuk menjadikannya kekasih.

“Tak dinafikan memang ada yang menghantar surat, emel mengajak saya bercinta. Tapi saya minta maaf kerana tidak bersedia untuk ke arah itu. Fokus saya sekarang ini adalah untuk berjaya dalam bidang seni. Perjalanan karier saya masih jauh dan saya tak mahu menjejaskannya dengan soal cinta.

“Bagaimanapun, bukanlah bermakna saya tidak mahu bercinta sampai bila-bila. Cuma jika sudah tiba masa yang sesuai barulah saya bersedia,” tegas Adira.

Adira memang bernasib baik. Ketika kerjaya dalam bidang nyanyian baru hendak bertapak kukuh, dia sudah dibawa ke dunia lakonan pula. Sebelum dunia lakonan hanya diketahui menerusi teori saja. Itupun sewaktu berada di akademi. Namun, peluang untuk berada dalam dunia lakonan sebenar tiba baru-baru ini apabila Adira dilamar untuk membintangi sebuah drama komedi muzikal, Lawaknya Fantasia Raya.

Selepas beberapa hari berada di lokasi, barulah Adira tahu susah senang hidup seorang pelakon.

“Walaupun baru pertama kali berlakon tapi saya sudah mula merasa seronok. Biarpun terpaksa menunggu serta menghadapi cuaca panas ketika berada di lokasi tetapi itu semua saya anggap satu cabaran dan pengalaman untuk saya yang masih baru dalam bidang ini.

“Lagi pun sebelum saya mengambil keputusan untuk terjun dalam bidang lakonan ini, saya sudah persiapkan diri dengan persediaan mental dan fizikal.

Pengalaman masa buat iklan dulu juga sedikit sebanyak membantu,” ujarnya yang memegang watak sebagai pembantu peribadi kepada Cik Ayu, lakonan Rozita Che Wan.

tags: dunia baru adira af8, adira af8 page, adira af8 berita harian, adir af8 rozita che wan, adira media, adira af8 majalah, adira af8