Jiwa 'Lelaki' Dalam Diri Adira

Oleh WAHIDUZZAMAN
Source: mstar Online


Adira belajar untuk menjadi lebih ayu dan lembut sejak bergelar artis. - Foto oleh RAYMOND OOI


MUNGKIN hanya yang benar-benar rapat dan mengenalinya luar dan dalam saja dapat melihat sisi sebenar penyanyi bertubuh kecil ini.

Apa tidaknya, jika dilihat kepada fizikalnya yang genit dan penuh keayuan itu, pasti ramai tidak menduga empunya diri Siti Adira Suhaimi (Adira) ini sebenarnya seorang yang kasar dan lasak.

Imbasnya dalam satu pertemuan bersama OopStarz! baru-baru ini, di sebalik kelembutan wajah dan penampilan yang disajikan itu, dia mengakui dirinya seorang yang lasak seperti lelaki pada satu ketika dulu.

"Saya adalah anak bongsu dan hanya ada seorang kakak manakala selebihnya adalah enam abang. Saya pula lebih rapat dan banyak menghabiskan banyak dengan abang-abang.

"Sejak kecil saya sudah terdedah dengan aktiviti lasak dan kasar. Pelbagai aktiviti lasak yang saya lakukan seperti pernah bergaduh, menangkap ikan, panjat pokok dan macam-macam lagi kerana mengikutkan abang-abang saya.

"Sebab itu, perwatakan dan cara saya berfikir lebih cenderung seperti seorang lelaki," katanya.

Jelasnya lagi, jika orang melihat pada luaran, ciri-ciri kelelakian itu memang tidak ketara tetapi apabila dia mula dikenali dan diajak berbual, warna sebenarnya akan menjelma.

"Kalau orang tidak kenal mereka tidak akan nampak tetapi bagi yang rapat dan mengenali saya, mereka akan dapat melihat ciri-ciri kasar dalam diri saya.

"Terus-terang, sehingga hari ini saya sebenarnya lebih selesa bergaul dengan lelaki. Saya mempunyai lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana sikap mereka yang ringkas, terbuka dan tidak rumit," katanya.

Berhati-hati

Pada dasarnya, sikap kelakian yang dimiliki gadis berzodiak Virgo ini pasti cukup 'digeruni' dan mahu dijauhi oleh kebanyakan gadis dan wanita lain. Namun, naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) ini pula menganggap karakter itu sebagai satu bonus buatnya.

Kata Adira, sepanjang membesar dengan perwatakan sebegitu dia sangat bertuah kerana sikap itu banyak membentuk keperibadian dan pemikirannya yang lebih terbuka, tidak mudah sensitif, tegar dan berdikari.

"Saya bersyukur kerana memiliki sikap kasar ini. Walaupun sikap ini tidak manis dan kurang sesuai untuk seorang perempuan tetapi ia memberikan kelebihan.

"Saya memang tidak mahu menjadi gadis yang tipikal. Karakter lasak dalam diri ini menjadikan saya lebih kuat, berdikari dan terbuka," katanya.

Mungkin dek kematangan diri dan pengaruh persekitaran yang memagari status selebriti yang digalasnya hari ini, Adira bagaimanapun mengakui dia harus bersikap fleksibel dan mengadaptasi perubahan demi kebaikan.

"Namun, saya cuba tampil dengan perwatakan yang lebih lembut dan ayu sekarang. Tambahan pula sejak bergelar artis saya perlu lebih berhati-hati agar sikap dan pembawaan diri saya disenangi ramai.

"Ia bukan proses yang mudah tetapi saya belajar sedikit demi sedikit untuk menghaluskan mana-mana aspek yang agak kasar sebelum ini," luahnya dalam berseloroh.

Kelas komunikasi
Seperkara yang cukup sinonim dengan bakat-bakat berpotensi dari negeri di bawah bayu adalah isu komunikasi.

Fakta itu diakui sendiri oleh Adira dan penyanyi lagu Ku Ada Kamu ini juga tidak terlepas daripada konflik tersebut.

Apabila diajak berkongsi pandangannya tentang isu komunikasi yang dianggap sebagai faktor yang merencatkan kelancaran proses perkembangan kerjaya artis negeri itu, Adira mengangguk bersetuju.

"Kelancaran berkomunikasi dengan bahasa Malaysia yang jelas dan standard adalah faktor penting yang mempengaruhi perkembangan kerjaya seseorang artis.

"Saya tidak nafikan, sejak dulu lagi memang ramai bakat seni yang berpotensi dari Sabah sukar untuk berkembang dan mengukuhkan profil kerana faktor komunikasi.

"Malah, saya akui turut berdepan masalah itu tetapi atas nama kesungguhan terhadap bidang seni, saya cuba perbaiki kelemahan itu dengan mengambil kelas komunikasi," katanya.

Kongsinya lagi, sebagai selebriti yang mahu bertahan selama yang mungkin di dalam industri, dia tidak segan untuk belajar penggunaan bahasa Malaysia yang betul selain gaya pertuturan yang lebih difahami umum.

"Mujurlah saya mempunyai ramai kawan di sini yang sentiasa ada untuk membetulkan keadaan jika slanga Sabah terlepas daripada mulut saya apabila berbual atau ditemuramah.

"Bukannya apa, saya mahu mengembangkan bakat pada bidang lakonan dan pengacaraan juga. Untuk menceburi bidang tersebut, faktor komunikasi yang lancar dan standard adalah sangat penting.

"Sebab itu sehingga hari ini saya masih belajar gaya pertuturan yang betul dan standard bagi memudahkan tujuan komunikasi," katanya menoktahkan bicara dengan sekuntum senyuman.



Solekan dan tatarias JUE EDEN (013-2303027)

Lokasi HOTEL ONE WORLD, Bandar Utama, Petaling Jaya